Sunday, February 27, 2011

ABSTRAK

KEADAAN MASJID PADA HARI INI

            Secara umum, apabila kita menyebut perkataan masjid, maka terbayanglah di fikiran kita bahawa ianya adalah tempat umat Islam bersembahyang berjemaah dan berjumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama terutama ketika sempena perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Ma’al hijrah dan sebagainya.

            Terbayang juga di fikiran kita bahawa kebanyakan masjid seluruh negara ini merupakan bangunan indah tersergam, alat-alat dan kelengkapan pada umumnya mencukupi dan sempurna, ia dihampar permaidani yang indah, dihiasi ukiran ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah (s.a.w.) di dalamnya, namun bangunan yang tersergam indah ini serta kemudahan yang wujud itu seolah-olah tidak sempurna, kosong, tidak bersemangat dan kurang berfungsi.

            Ternyatalah masjid di negara ini indah tetapi kurang dimanfaatkan. Ia tidak diimarahkan dengan sewajarnya. Ia lebih merupakan lambang kemegahan yang membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan bukan dari segi pengisian dan penghayatan sedangkan kedua-dua aspek ini menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya dijalankan. 

            Demikianlah perbandingan fungsi dan peranan masjid yang wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w) dengan masjid yang wujud pada masa ini. Perbezaan yang terdapat antara kedua-duanya memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk mengimarahkan semula masjid-masjid berdasarkan tuntutan Islam serta bertepatan pula dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar.








FENOMENA REMAJA PADA HARI INI

            Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat, masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak pula.

            Satu perkara yang tidak wajar dilupakan bahawa kesan kebangkitan Islam pada dekad 70an banyak memberi pengaruh kepada kecenderungan masyarakat, termasuk golongan remaja, untuk memenuhi masjid-masjid yang sebelumnya menjadi kunjungan sebahagian kecil orang-orang dewasa. Petanda positif ini pula sentiasa dipupuk oleh pihak-pihak yang komited dengan penghayatan Islam seperti pertubuhan-pertubuhan sosial, badan-badan bukan Kerajaan lebih-lebih lagi agensi-agensi Kerajaan yang terlibat secara khusus berkenaan Islam. Keadaan ini semakin lancar dan teratur apabila Kerajaan memperkenalkan Dasar Penerapan nilai-nilai Islam pada tahun 1983.

            Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’ supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja.

             Apa yang dibimbangi ialah naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungut-rungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid. Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat kekosongan yang wujud.



No comments:

Post a Comment