Sunday, February 27, 2011

PENDAHULUAN

Persepsi sesetengah remaja Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar diselesaikan di tempat itu.

Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para remaja serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam terutamanya para remaja untuk mengunjungi masjid-masjid.

Para remaja perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat. Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling sesuai untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat ke-18 yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.”


Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam yang baik.

            Para remaja wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Islam dan umatnya.


KELEBIHAN MASJID

            Islam sangat menggalakkan pembinaan masjid dan mengimarahkannya, Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda yang bermaksud: 

“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah S.W.T.,Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”.

Allah telah menjadikan masjid tempat yang mulia di sisi-Nya, ianya juga terkenal dengan nama “Baitul Allah”. Dalam hal ini baginda Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

 “Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasarnya manakala tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya”. 

Di dalam hadith yang lain, dalam memperlihatkan kelebihan masjid Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: 

“Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan”. 

            Selain daripada itu, Rasulullah (s.a.w.) juga menegaskan tentang kelebihan masjid kepada umat Islam terutama sekali kepada golongan pemuda, iaitu antara manusia yang mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat ialah pemuda yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid. 

Antara kelebihan masjid, Rasulullah (s.a.w) memberi jaminan kepada orang yang sentiasa sembahyang berjemaah di dalamnya. Sabda baginda yang bermaksud: 

“Seorang Muslim yang sentiasa pergi ke masjid untuk sembahyang dan mengingati Allah, Allah amat bergembira dengan kedatangannya sebagaimana ahli keluarga amat gembira dengan kedatangan keluarga yang lain”.

Sabda baginda lagi, 

"Sesiapa yang pergi ke masjid, Allah akan menyediakan untuknya hidangan di dalam Syurga, setiap kali ia pergi dan balik". 

            Hadith di atas menerangkan bahawa orang yang mendapat kebaikan daripada masjid ialah mereka yang melakukan amalan soleh dan taqwa. Orang-orang yang sedemikian itulah juga yang layak dan berhak untuk mendapatkan ganjaran baik daripada Allah terhadap amalan-amalan soleh yang mereka lakukan, kerana Allah telah menyediakan kelebihan pada masjid-masjid.



No comments:

Post a Comment