Sunday, February 27, 2011

PERANAN

ANTARA PERANAN-PERANAN MASJID BAYAN BARU:

  PUSAT PEMBANGUNAN ISLAM
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai sebuah pusat perkembangan dan pembangunan Islam di mana segala-galanya bermula dan berkembang dari masjid.

  MASJID SEBAGAI LAMBANG KEAGUNGAN ISLAM
Sebagai lambang kesyumulan Islam, maka setiap projek bandar baru, kawasan perumahan, perhotelan dan kompleks perniagaan haruslah dimulakan dengan pembinaan masjid atau jika kawasan itu adalah kawasan lama, maka kawasan itu haruslah mempunyai masjid untuk menarik lebih ramai orang Islam bertumpu ke tempat itu.

  PUSAT PERCAMBAHAN ILMU
Institusi masjid haruslah dijadikan tempat percambahan ilmu, dimana masjid haruslah mempunyai perpustakaan yang lengkap bukan sahaja membekalkan buku-buku agama , tetapi juga buku yang berkaitan dengan ibadah dan muamalah.Begitu juga buku mengenai ilmu sosial, ekonomi, politik dan sebagainya haruslah diletakkan di dalam perpustakaan masjid.Buku-buku ini boleh didapati secara mudah dan murah sekiranya pemimpin masjid itu sanggup meminta dari badan-badan tertentu seperti Dewan bahasa dan Pustaka, syarikat percetakan dan sebagainya.Selain dari itu, Jawatankuasa Kariah juga boleh memohon derma dalam bentuk buku daripada penduduk mukim atau daerah berkenaan.

  PUSAT TAMADUN ISLAM
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat tamadun Islam, maka roh Islam di zaman kegemilangan dan keagungan Islam boleh dikembalikan dan dikekalkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang. Masjid haruslah mempunyai satu ruang yang mencukupi untuk melambangkan keagungan, kemegahan tamadun Islam di zaman lampau terutama sekali dalam pencapaian ilmu perubatan, sains, astronomi, matematik, falsafah dan sebagainya.Justeru itu haruslah dipamerkan gambar-gambar dan sejarah hidup Ibnu Sina, Al-jabir, Imam Ghazali dan sebagainya.

  PUSAT PERCAMBAHAN FIKIRAN
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai tempat untuk mempercambahkan fikiran dengan adanya dialog, ceramah, seminar dan sebagainya.Kumpulan-kumpulan kecil bolehlah ditubuhkan untuk menggunakan masjid sebagai tempat untuk mempertingkatkan pemikiran dan menajamkan akal.

  RUMAH SUCI
Institusi masjid ialah sebuah tempat suci yang menjadi tunjang kesucian Islam tanpa dicemari oleh anasir-anasir negatif yang bertentangan dengan ajaran Islam yang berlaku bukan sahaja dalam kawasan masjid, tetapi juga dalam mukim atau daerah di mana masjid itu terletak.

  PUSAT PENJAGAAN AYAT-AYAT SUCI
Institusi masjid boleh dijadikan tempat untuk menjaga bacaan ayat-ayat suci. Rakan masjid sepatutnya didedahkan kepada peluang untuk menjadi Imam yang boleh memperdengarkan suara mereka. Kalaulah Imam dapat berundur dalam sehari untuk memberi laluan kepada mereka yang berbakat untuk menjadi Imam, kemudian Imam boleh menegur mereka yang membuat kesilapan dalam membaca terutama dalam Tajwid, amatlah bertepatan dengan konsep institusi masjid sebagai penjaga bacaan ayat-ayat suci.

  PUSAT BELAJAR AL-QURAN DAN TAFSIRNYA (ULUM AL-QURAN)
Kebanyakan masjid telah digunakan sebagai pusat pembelajaran Al-Quran .Amalan ini haruslah diteruskan tetapi ada baiknya jika kita menambah amalan yang bukan sahaja setakat mengajar Al-Quran kepada anak-anak, tetapi juga menerangkan maknanya atau diberi tafsiran Al-Quran kepada mereka supaya sendiri membaca ayat-ayat suci.

  PUSAT PENDIDIKAN
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat pendidikan di mana anak-anak serta keluarga dapat dididik di masjid.Masjid juga boleh dijadikan sebagai pusat pengukuhan ilmu.

  PUSAT PENGISIAN JIWA
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat pengisian dalam ertikata yang luas:Pusat Pengisian Kemerdekaan, Pusat Pengisian Rohani, Pusat Pengisian Ilmu dan sebagainya.

  PUSAT PENGUKUHAN IMAN DAN TAQWA
Institusi masjid haruslah dijadikan pusat pengukuhan iman dan taqwa serta pusat pengukuhan rohani.

  PUSAT PELENGKAP
Setiap kanak-kanak didedahkan kepada pendidikan di rumah dan kemudiannya di sekolah.Institusi masjid bolehla dijadikan pusat pelengkap adab, sopan-santun dan sebagainya.Dengan kata lain,institusi masjid bolehlah dijadikan "finishing school".

  PUSAT SANTAPAN ROHANI
Institusi masjid haruslah dijadikan sebagai pusat santapan rohani bagi penduduk mukim dan daerah, sekurang-kurangnya sebagai permulaan.Masjid daerah haruslah direka supaya dapat menghayati kesucian Islam.

  PUSAT EKONOMI
Masjid haruslah terletak di dalam satu kawasan yang luas, di mana di sekelilingnya hendaklah dipenuhi dengan aktiviti ekonomi dan sosial.Kedai adalah merupakan aktiviti ekonomi yang digalakkan oleh Islam.Oleh itu, masjid haruslah mempunyai kedai atau bazar yang menjual beraneka keperluan masyarakat.Selain dari itu, kedai cenderamata yang menjual artifak yang ada hubungannya dengan mukim.

No comments:

Post a Comment