Sunday, February 27, 2011

PENYELESAIAN

KAEDAH DAN PROGRAM UNTUK MENARIK REMAJA KE MASJID

Sesungguhnya usaha-usaha untuk menambat hati para remaja bagi menjinakkan mereka ke arah budaya masjid, memerlukan kerahan serta pengembelingan tenaga daripada semua pihak. Sikap mereka-reka pelbagai tohmahan ke atas remaja wajar dikikis daripada kita. Kita wajar mengambil sikap mendekatkan diri dengan tutur kata yang lemah lembut dan berhikmah.


Sebagai golongan tua atau penjaga kepada mereka, kita wajar mempamerkan sifat-sifat yang terpuji di hadapan anak-anak sebagai tunas-tunas awal yang akan berkembang seterusnya turut mempengaruhi mereka. Peranan ibubapa, masyarakat, pihak berkuasa khususnya ahli-ahli Jawatankuasa Masjid amat besar dalam menentukan hala tuju dan menjinakkan jiwa remaja ke arah masjid. Bermacam kaedah dan program boleh dirancang untuk mencapai hasrat murni tersebut.
 
EKSPEDISI
Dengan menaiki kereta, bas atau keretapi, pihak ahli Jawatankuasa Masjid mengaturkan program untuk para remaja umpamanya dari Masjid Bayan Baru ke Masjid Negeri Pulau Pinang. Sekiranya berkereta atau menaiki bas boleh diatur maka pelbagai acara dapat diadakan apabila singgah di satu-satu masjid yang telah ditentukan seperti sembahyang berjemaah, mencantikkan kawasan masjid dan majlis-majlis ilmu.
 
PERTANDINGAN PIDATO
Jiwa orang-orang muda terarah kepada perlumbaan atau bersaing antara rakan-rakan.  Oleh itu pelbagai acara berbentuk pertandingan boleh dianjurkan oleh pihak masjid seperti berpidato, berbahas, melukis, mengarang dan lain-lain lagi. Kita amat yakin, khususnya bagi masjid kariah, program-program yang berbentuk pertandingan lebih berkesan dari segi hubungan kekeluargaan serta kekampungan. Ini kerana saiz penduduk yang kecil di mana setiap orang boleh mengenali antara satu dengan yang lain dengan lebih rapat.

TADIKA
Kanak-kanak yang masih kecil amat mudah dihala tuju dan dilentur mengikut kehendak ibubapa. Di dalam hal ini, mengadakan kelas-kelas Taski, Taska atau apa sahaja nama program untuk anak-anak kita yang diadakan di kawasan masjid sungguh bermanfaat dalam usaha menjinakkan para remaja ke masjid.


ASRAMA
Orang-orang musafir atau orang yang pertama kali sampai ke suatu tempat sering menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang murah, selesa dan mempunyai segala kemudahan. Di dalam hubungan ini, membina hostel atau asrama-asrama di kawasan masjid boleh mengisi kehendak-kehendak para musafir khususnya para remaja sekaligus boleh mengawal untuk mengurangkan krisis-krisis moral yang tidak kunjung padam. Usaha ini lebih jelas lagi jika para pekerja kilang atau sesiapa sahaja yang masih bujang tinggal di hostel atau asrama yang dimaksudkan di atas.

BANK,KLINIK DAN PERPUSTAKAAN AWAM
Tumpuan pemerhatian para remaja khasnya dan masyarakat amnya apabila melangkah keluar daripada rumah ialah menuju ke tempat-tempat yang biasa di hati mereka umpamanya bank, klinik dan perpustakaan awam. Mewujudkan pusat-pusat tumpuan sedemikian di kawasan masjid, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, adalah langkah-langkah yang akan menjinakkan hati mereka ke masjid.

PUSAT RIADAH
Mengadakan gimnasium, gelanggang sepaktakraw, badminton, tenis, pingpong, menunggang kuda dan apa sahaja untuk menarik kehadiran para remaja ke masjid. Bagi menjayakan hasrat ini maka masjid mesti didirikan di dalam persekitaran yang luas.


No comments:

Post a Comment